Terbaru Di Pasaran! Minyak Wangi Munif Hijjaz!


Minyak Wangi Munif Hijjaz

Monday, February 14, 2011

Anak tetap anak...ibu tetap ibu...


Hari ni saya nak berkongsi artikel yang disiarkan oleh rakan facebook saya. Artikal ini bagi saya sangat menarik, kerana ada kebenarannya. Saya sebenarnya dalam dilema, apakah cara saya mendidik anak2 saya tak kena kerana garang & tegas (tapi bertempat)? Tapi bagi saya setiap ibubapa pasti ada cara tersendiri bagaimana nak mendidik anak sendiri. Sebagai ibubapa kita sepatutnya lebih tahu adab dan etika yang harus diterapkan ke dalam jiwa anak-anak. Patutlah ibu dan bapa sekarang banyak menghadapi masalah untuk mendidik anak-anak pada zaman sekarang. Patutlah anak tidak boleh ditegur, walau sedikit. Kemudian saya cuba membandingkan cara mak&abah saya mendidik saya pada waktu kecil, walaupun mungkin tak 100% perfect. Salah satu contohnya ialah kalau dulu kita bila dimarah memang tak berani nak buat lagi, takut..tapi anak2 sekarang macam takde apa2 je bila kena marah...

Menurut penulis, ada beberapa perkara yang emak dan abah kita lakukan pada zaman dahulu tetapi kini tidak lagi diamalkan oleh kebanyakan ibu bapa moden.

1) Tidak ada tolak ansur sekiranya anak-anak nakal. Perkara nakal yang dimaksudkan ialah melompat-lompat macam kera, buat bising ketika orang sembahyang, berlari-lari dalam kedai atau majlis orang atau main bola sepak dalam rumah. Tegur, marah dan tengking kedengaran zalim dan tiada psikologi. Tapi, itulah cara ibu bapa kita mendidik kita. Kebanyakan ibu bapa zaman sekarang tidak begitu. Kononnya, mereka menggunakan pendekatan psikologi. Biarkan sahaja anak-anak meneroka. Konon hendak mengasah kreativiti. Dalam masjid, anak-anak bising dan berlari-lari. Ibu bapa biarkan sahaja. Apakah menjerit itu satu bentuk kreativiti?

2) Ibu tetap ibu, anak tetap anak. Mesti ada garis pemisah antara pengasuh dan orang yang diasuh. Anak-anak tidak boleh masuk campur dalam perbualan antara orang tua-tua. Seingat saya, kalau ada orang datang, saya awal-awal disuruh masuk dalam bilik dan jangan keluar. Ibu bapa sekarang percaya dengan amalan orang putih iaitu, anak dijadikan kawan, sebab itu batasan kekeluargaan semakin longgar. Bahkan anak boleh mencelah perbualan orang tua. Mungkin sebab itu, anak-anak boleh melawan orang tua atau meninggikan suara kerana mereka menganggap ibu atau bapa mereka kawan-kawan mereka.

3) Jangan selalu menyebelahkan anak walaupun kadang-kala anak itu betul. Jika anak-anak sering dibela apabila dimarah oleh guru atau sebagainya, mereka akan naik lemak. Sebab itu pada waktu sekarang pelajar kurang ajar di sekolah tapi cikgu tidak boleh buat apa kerana takut disaman di mahkamah jika hal ini berlaku.

4) Mesti solat dan mesti tutup aurat. Pada awalnya saya memang berasa bahawa solat itu paksaan dan menutup aurat itu satu seksa. Namun, lama kelamaan, ianya menjadi rutin dan saya rasa bersalah jika saya tidak melaksanankannya. Malang sekali, ibu bapa tidak peduli sama ada anak mereka solat atau menutup aurat. Bahkan mereka bangga anak mereka berfesyen mengikut gaya terkini dan semasa. Dan yang lebih malang sekali jika ibu bapa itu sendiri tidak solat. Nauzubillah....

Emak dan abah memang mendidik cara kuno. Emak dan abah tidak menggunakan cara psikologi. Didikan mak dan abah tidak berseni. Saya percaya kini, tidak semua yang kuno itu boleh mendatangkan keburukan.Tidak semua kuno itu buruk kesannya. Namun, saya percaya juga, yang kuno juga boleh digunakan terutama untuk membentuk disiplin dalam kalangan anak-anak. Cara orang putih bagaimana? Kembalilah kepada ajaran Islam yang luhur kerana Islam itu lengkap selengkap-lengkapnya.